Sunday, February 12, 2017

Hiasilah Akhlak Dengan Sifat Lemah Lembut Dan Tenang



*Hiasilah Akhlak Dengan Sifat Lemah Lembut Dan Tenang Nescaya Akan di Kasihi Oleh Allah SWT*

*السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّــــــــــهِ وَبَرَكَاتُهُ*
 
*بِسۡـــــــــمِ ٱللَّــــــــــهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ*

- اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ
- اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ
- اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ

Segala puji bagi Allah سبحانه وتعالى pencipta langit dan bumi, pencipta cahaya dan kegelapan, yang mengumpulkan para makhluk di hari perhitungan, hari kemenangan bagi orang yang berbuat baik dan kesengsaraan bagi ahli maksiat. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah سبحانه وتعالى tiada sekutu baginya, dengan persaksian yang bakal membawa kepada kebahagiaan di hari kiamat.

*إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا*

*اللَّهُــــــــمّے صَــــــلٌ علَےَ سيدنا مُحمَّــــــــدْ و علَےَ آل سيدنا مُحمَّــــــــدْ كما صَــــــلٌيت علَےَ سيدنا إِبْرَﺍﻫِﻴﻢَ و علَےَآل سيدنا إِبْرَاهِيمَ وبارك علَےَ سيدنا مُحمَّــــــــدْ و علَےَ آل سيدنا مُحمَّــــــــد كما باركت علَےَ سيدنا إِبْرَاهِيمَ و علَےَ آل سيدنا إِبْرَاهِيمَ فى الْعَالَمِينَ إنك حميد مجيد*

Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad ﷺ. keluarga serta para sahabat, pengikut-pengikut sahabat dan mereka yang istiqamah menuruti baginda dari masa kesemasa hingga ke hari kiamat.

Sedekahkanlah Al Fatihah kpd ibu bapa kita, keluarga dan muslimin muslimat yg masih hidup maupun yang telah kembali ke rahmatullah...
AlFatihah...

بِسۡـــــــــمِ ٱللَّــــــــــهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْـمُسْتَقِيمَ
صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ
غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
آمِين

“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak pernah kenyang, dan dari doa yang tidak dikabulkan.”
(HR Muslim ..4899)

Sahabatku kaum muslimin yang dirahmati Allah سبحانه وتعالى  sekalian............

Daripada Ibnu Abbas r.a berkata Rasulullah SAW bersabda kepada Asyaj Abd al-Qais maksudnya : "Sesungguhnya sesiapa yang memiliki dua sifat, nescaya dikasihi oleh Allah iaitu lemah lembut dan tenang." (Hadis Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas terdapat dua sifat pada diri seorang mukmin maka dia akan dikasihi oleh Allah SWT. Sifat-sifat tersebut adalah :

Pertama : Lemah lembut.

Kedua : Tenang.

Huraiannya :

*■ Pertama ■*
*Lemah lembut.*

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya :“Sesiapa yang dikurniakan sifat lemah lembut nescaya ia akan memperolehi kebaikan dalam semua hal.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Sifat lemah-lembut adalah akhlak yang mulia yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Oleh itu orang yang memiliki sifat lemah lembut adalah orang yang sangat beruntung. Sesiapa yang memiliki sifat ini dia akan dapat menahan diri apabila marah dan mempertimbangkan baik buruknya sesuatu perkara sebelum bertindak.

Orang yang lemah lembut melambangkan orang yang sentiasa sabar , tidak bersikap keras dan kasar dan tidak tergopoh gapah di dalam sesuatu perkara. Bukanlah bermakna apabila seseorang berlemah lembut maka dia mudah di permainkan atau diperbodohkan oleh orang lain. Namun sifat lemah lembut ini lebih baik diseiringkan dengan ketegasan dalam kebenaran agar seseorang itu akan dihormati dan muliakan.

Rasullullah SAW adalah contoh orang yang paling lemah-lembut dan paling baik dalam pergaulan. Sesiapa yang melihat baginda dari jauh akan berasa gentar tetapi sesiapa yang bercampur atau bergaul dengan baginda tentu akan menyayangi baginda disebabkan oleh sikap lemah lembut baginda itu.

Rasulullah SAW bersabda, bermaksud:  "Sesungguhnya Allah itu bersifat lemah lembut dan ia menyukai sifat lemah lembut. Dan Allah memberikan sesuatu dengan cara lemah lembut yang tidak diberikan dengan cara kekerasan, dan juga tidak diberikan sesuatu melainkan dengan cara lemah lembut.
(Hadis Riwayat Muslim)

Sifat lemah lembut adalah sifat yang disukai oleh Allah sebaliknya sifat kekerasan adalah sifat yang dibenci oleh Allah. Kekerasan tidak akan dapat menyelesaikan masalah sama ada yang meliputi bidang alam rumahtangga perhubungan masyarakat dan sebagainya. Dari itu kita dituntut supaya bersifat lemah lembut dan bertolak ansur didalam perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Firman Allah SWT :

*فبما رحمة من الله لنت لهم, ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك فاعف عنهم واستغفرلهم وشاورهم فى الامر, وإذا عزمت فتوكل على الله. إن الله يحب المتوكلين.*

Maksudnya : “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah.  Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.
(Surah Ali Imran (3) ayat 159)

Orang mukmin akan sentiasa berdoa kepada Allah SWT untuk empat perkara : “ Ya Allah, kayakanlah aku dengan ilmu, hiasi diriku dengan sifat lemah-lembut, muliakanlah aku dengan sifat ketakwaan dan cantikkanlah aku dengan nikmat kesihatan”.

Oleh itu bersifatlah dengan sifat berlemah lembut dan jauhilah sifat kasar, keras, bengis dan tidak bertimbang rasa kerana fitrah manusia suka dan kasih pada peribadi yang memiliki sifat lemah lembut. Berlemah lembutlah kepada ulama, guru-guru, ibu bapa, isteri, anak-anak, jiran tetangga, sahabat handai, saudara mara dan umat Islam seluruhnya nescaya kalian akan dikasihi oleh mereka semua.

*■ Kedua ■*
*Tenang*.

Sifat tenang adalah salah satu sifat mahmudah. Tidak gopoh-gapah di dalam segala urusannya.

Daripada Sahl bin Sa'd bersabda Rasulullah SAW  : "Gopoh-gapah itu merupakan sifat syaitan."
(Hadis Riwayat Tarmizi 2012 dan dikatakan hasan)

Orang yang cerdik sebelum ingin mengambi sesuatu tindakan atau keputusan ia perlu mengkaji terlebih dahulu serta memikirkannya segala akibat dan menimbangkan baik buruknya. Kemudian barulah dilaksanakannya tindakan atau keputusan tersebut dengan penuh ketetapan hati dan berhati-hati. Sikap seperti ini tidak akan menimbulkan penyesalan di kemudian hari nanti. Seandainya perkara yang dirancang tadi mengikut pengharapannya, nescaya dia bersyukur kepada Allah SWT dan jika terjadi sebaliknya diluar jangkaannya ia menganggap sebagai takdir Tuhan serta reda menerimanya dengan tenang dan sabar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sungguh menakjubkan sifat dan keadaan orang mukmin, seluruh urusan kehidupannya mengandungi kebaikan dan hal berkenaan tidak terdapat pada orang lain. Orang mukmin jika diberikan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, kemudian dia bersyukur, maka hal itu menjadi kebaikan baginya, sebaliknya jika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar maka hal yang demikian juga kebaikan baginya.
(Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW mengajar kepada kita bahawa apabila iqamat telah di kumandangkan menandakan solat telah hampir untuk di dirikan maka kita hendaklah bertenang dan jangan gopoh-gapah. Sempurnakan wuduk dan berjalan ke tempat solat dengan tenang sebagimana sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a bersabda Rasulullah SAW : "Jika kamu mendengar iqamat, maka berjalanlah menuju solat dengan tenang, tenteram dan jangan tergesa-gesa. Maka apa yang kamu dapati, hendaklah kamu sempurnakan."
(Hadis Riwayat Muttafaq alaih)

Firman Allah SWT :

*الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ*

Maksudnya : “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram”
(Surah ar-Ra’du ayat 28).

Jiwa yang sentiasa tenang dan tenteram adalah jiwa orang mukmin kerana setiap masa lidahnya sentiasa membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT. Sesungguhnya hanya mengingati Allah SWT hati akan tenang, tenteram dan merasa gembira.

Dari Maimunah hamba pengasuh Nabi SAW berkata : "Seorang wanita datang kepada Nabi dari puak Jursh dan berkata kepada ‘Aisyah : Tolonglah beritahuku dengan suatu doa dari Rasulullah yang boleh menenangkan diriku dan mententeramkannya.

Rasulullah bersabda kepada 'Aisyah radiallahuanha katakan kepadanya : "Letakan tangan kananmu dekat bahagian hatimu dan sapukan ia sambil membaca doa :

*بِسْمِ اللهِ، اَللهُمَّ دَاِونِي بِدَوَائِكَ وَاشْفِـنِي*ْ   *بِشِفـَائِكَ*
*وَأَغْنِنِيْ  بِفَـضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاك*

Maksudnya : "Dengan nama Allah , Wahai Allah, rawatilah daku dengan Rawatan-Mu, sembuhkanlah daku dengan Penawarmu dan Cukupkan daku dengan kelebihan yang ada pada-Mu dari mengharapkan selain dari-Mu."
(Petikan dari kitab Usudul Ghobah : 5/404)

Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita beramal dengan dua sifat yang mulia iaitu sifat lemah lembut dan tenang supaya kita sentiasa dikasihi oleh Allah SWT. Jauhi daripada sifat kasar dan keras dan sifat gopoh-gapah kerana sifat ini dibenci oleh Allah SWT dan manusia juga tidak suka kepada kedua-dua sifat yang buruk ini.

Shadaqallahul’azhim.

والله أعلم بالصواب
Waallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang sebenarnya)

Sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah ﷺ:
❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞
Hadis Riwayat Ahmad, Bukhari, Tarmidzi.

Sabda Rasulullah ﷺ. bermaksud:
Barangsiapa ditanya mengenai sesuatu ilmu lalu disembunyikannya maka Allah akan mengekangnya nanti dengan kekangan daripada api neraka pada Hari Kiamat kelak.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi رضي ٱللَّــــــــــه عنه )

Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :

① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.

☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆

ILMU .... Penyuluh Hidup
AMAL ..  Bekalan Perjalanan
AKHLAK .... Hiasan Jiwa dan Peribadi

Menuju ke Destinasi

AKHIRAT  ..... yang sudah pasti

☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆

Aku Bukanlah Ustaz...
Bukan Juga Ulama...
Aku hanyalah Hamba Allah yang sedang berusaha untuk Menjadi Hamba-NYA yang terbaik..

■▪■ Demang Satria ■▪■

☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆☆

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّــــــــــهِ وَبَرَكَاتُه

No comments:

Post a Comment